APA ITU TAKAFUL?
Takaful berasal dari perkataan dasar bahasa Arab :
Kafala yang bermaksud menjamin,menjaga atau memelihara.
Takafala yang membawa makna saling menjamin, saling menjaga dan saling memelihara.
Oleh itu, istilah takaful merujuk kepada pakatan satu kumpulan untuk saling jamin menjamin dan bantu membantu antara satu sama lain ketika para peserta kumpulan tersebut ditimpa sesuatu musibah.
Menurut Akta Takaful 1984, istilah Takaful membawa maksud satu skim yang berasaskan persaudaraan, perpaduan dan bantuan bersama yang menyediakan pertolongan dan bantuan kewangan kepada peserta-peserta jika diperlukan di mana peserta jika diperlukan di mana peserta-peserta sama-sama bersetuju untuk memberi sumbangan bagi maksud itu. (Buku Panduan Asas Takaful, 2007)
ASAL- USUL TAKAFUL
Takaful bukanlah sesuatu yang baru, bahkan telah diamalkan oleh orang-orang arab jahiliah sebelum kedatangan Islam lagi. Sudah menjadi adat kebiasaan bagi orang-orang arab yang berdagang ke merata pelusuk tanah Arab untuk menjamin satu sama lain ketika ditimpa musibah. Amalan ini diteruskan setelah kedatangan Islam. Bentuk insurans yang diamalkan di kalangan kaum Muhajirin jelas terakam dalam Kitab Sirah Ibn Hisyam :
Kaum Muhajirin dari Quraisy tetap mempunyai hak mereka; mereka senasib sepenanggungan dan menerima wang tebusan darah (diat) sesama mereka (kerana pembunuhan tidak sengaja) dengan cara baik dan adil di kalangan orang-orang beriman. Bani ‘Auf (dari Yathrib) tetap mempunyai hak mereka, tanggung-menanggung wang tebusan diri; setiap keluarga mereka membayar bersama wang tebusan dengan baik dan adil di kalangan orang-orang beriman.
Terdapat 3 sistem berunsurkan insurans yang diteruskan setelah kedatangan Islam iaitu sistem ‘aqilah, qasamah dan akad muwalah.
SISTEM ‘AQILAH
Sistem ‘aqilah telah diperkenalkan oleh Rasulullah SAW sebaik sahaja Baginda berhijrah ke Madinah dan mempersaudarakan golongan Muhajirin dengan golongan Ansar. Sistem ini berteraskan kepada konsep saling bertanggung jawab di kalangan ahli-ahlinya. Mengikut sistem ini, setiap ahli sama ada orang-orang Ansar atau Muhajirin hendaklah mengadakan tabung kewangan bersama yang dikenali sebagai kunz. Semua pungutan atau caruman yang dibayar oleh ahli-ahli mengikut tempoh yang telah dipersetujui dimasukkan ke dalam tabung berkenaan. Objektif tabung ini ialah menyediakan bantuan kewangan untuk menolong mana-mana ahli yang terlibat dengan pembunuhan tidak sengaja atau untuk menebus tawanan perang muslimin daripada musuh.
SISTEM QASAMAH
Sistem al-Qasamah adalah satu sistem bayaran pampasan kepada pihak keluarga yang terbunuh. Melalui sistem ini, dana dikumpulkan ke dalam sebuah tabung atau kumpulan wang daripada kutipan caruman ahli-ahli. Manfaat akan dibayar kepada ahli waris yang dibunuh jika kes pembunuhan itu tidak diketahui siapa pembunuhnya atau keterangan saksi yang layak untuk benar-benar mengenalpasti pembunuhnya tidak diperoleh.
Dalam sebuah hadis riwayat Bukhari dari Sa’id bin A’ta’I menyebut:
“Apakah kamu boleh mendatangkan saksi orang yang membunuhnya? Mereka (golongan Ansar) menjawab: Tidak. Tanya Rasulullah: Baiklah kalau mereka: (orang-orang Yahudi) bersumpah untuk kamu? Mereka menjawab: Kami tidak menerima sumpah mereka. Kerana Rasulullah tidak suka mensia-siakan darah manusia, maka Baginda memberi diatnya seratus ekor unta kutipan sedekah .”
AKAD MUWALAH
Akad muwallah merupakan satu bentuk perjanjian jaminan. Di bawah sistem ini, penjamin akan menjamin sesorang yang tidak berwaris dan tiada pula diketahui keturunannya seperti seorang pendatang baru. Penjamin bersetuju akan menanggung bayaran diat (denda atau tebusan) sekiranya orang yang dijaminnya itu melakukan sesuatu jenayah. Sebaliknya, jika orang yang dijamin itu meninggal dunia, penjamin boleh mempusakai hartanya selagi tidak diketahui siapakah warisnya.
Contoh Senario:
A berkata kepada B: “Anda menjadi pelindung (wali) kepada saya, kalau saya melakukan jenayah tak sengaja, anda hendaklah membayar diat kepada saya.”
Kalau B bersetuju, maka kontrak mereka sah.
Sekiranya A melakukan jenayah tidak sengaja, maka A akan menyediakan diat dan sebagai ganjarannya B boleh mempusakai harta-harta A sekiranya ia mati tanpa waris.
Sumber:
Shazana Binti Muhamed Sa'ad. Kebaikan Sistem Takaful Berbanding Dengan Insurans Konvensional Retrieved from https://www.scribd.com/doc/21216898/1/SEJARAH-KEMUNCULAN-TAKAFUL on 23July 2015.
________________________________________________________________________________
MAHUKAN PELAN TAKAFUL DAN MEDICAL CARD YANG BERBALOI?
_________________________________________________________________________________
No comments:
Post a Comment